SELAMAT DATANG KE BLOG PERSATUAN PELAJAR ISLAM (PPI) SEKOLAH MENEGAH KEBANGSAAN PUJUT, MIRI, SARAWAK

SELAMAT DATANG KE BLOG PERSATUAN PELAJAR ISLAM (PPI) SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PUJUT 98100 MIRI , SARAWAK .

Thursday, July 8, 2010

LELAKI : PELINDUNG ATAU PEMUSNAH WANITA?




Di bahu lelaki, terletaknya tanggungjawab lebih besar untuk mengemudi bahtera kehidupan. Malah di atas bahu ciptaan Allah jua, kita diminta untuk melindungi wanita, golongan yang lemah berbanding kita, kaum Adam.

Sayangnya, lelaki yang benar-benar sedar tentang tanggungjawab ini semakin berkurangan.Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita". Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kepimpinan adalah diterajui oleh kaum lelaki; manakala kaum perempuan adalah golongan yang
dipimpin. Inilah fitrah atau sunnatullah yang berkuatkuasa dalam kehidupan manusia di dunia ini sepanjang zaman. Dalam ayat lain pula Allah berfirman, bermaksud
"Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka." Perintah ini ditujukan
kepada kaum lelaki yang menjadi ketua sesebuah keluarga.

Pengaruh barat yang menular ke negara Islam berjaya menyerapkan ideologi
persamaan hak wanita-lelaki dan akhirnya diterima umum. Akibatnya konsep
kepemimpinan lelaki terhakis. Kaum wanita yang dahulunya berperanan mentadbir
anak-anak dan rumahtangga si-suami kini sudah mengabaikan tanggungjawab.
Anak-anak sebaliknya dipelihara oleh orang gaji.

Apabila ramai wanita sudah memandang tanggungjawab di rumah sebagai kolot dan
tidak ekonomikal, maka institusi keluarga akan tercemar dan terjejas. Anak-anak kehilangan kasih-sayang ibu. Ibu hanya sempat melihat anak waktu petang atau
malam. Ketika itu badannya sudah keletihan dan tidak berdaya untuk mengasuh
anak lagi. Anak-anak membesar tanpa menerima kasih-sayang ibu. Apabila ibu tidak
menyayangi anak, semasa dewasanya nanti, sudah tentu anak tidak akan mengasihi
ibunya. Jadilah mereka anak yang kasar dari segi tutur-kata dan tingkahlaku.

Walaupun kesilapan ini seolah-olah berpunca daripada wanita tetapi sebenarnya
adalah berpunca daripada lelaki yang tidak berjaya mentarbiah wanita yang
diamanahkan kepadanya.

Kegagalan mentarbiah anak dan isteri menyebabkan ramai anak-anak gadis keluar
beramai-ramai memburu kerja di mana-mana saja. Kilang-kilang perindustrian yang
menawarkan insentif dan gaji lumayan menjadi alternatif utama berbanding profesion
perguruan dan perkeranian. Bahkan ramai juga wanita yang menjadi doktor, jurutera,
polis, askar dan sebagainya. Kuantiti wanita yang ramai bekerja menyebabkan
berlakunya satu kekosongan yang ketara di dalam institusi keluarga. Keadaan ini
digawatkan lagi dengan sikap pelajar lelaki yang tidak secemerlang pelajar
perempuan. Kecemerlangan pelajar perempuan di dalam peperiksaan awam
berbanding pelajar lelaki menjadi satu faktor ramainya wanita melibatkan diri di
dalam pasaran tenaga kerja.

Penglibatan wanita yang ramai di dalam sektor pekerjaan menyebabkan berlakunya
pengangguran di kalangan kaum lelaki. Mereka akhirnya terjebak dengan
penyalahgunaan dadah. Wanita bekerja terutama yang berpendapatan tinggi
bertambah ramai yang hidup membujang. Pemuda yang menganggur sukar mencari
wang untuk berkahwin. Akhirnya berlakulah pelbagai gejala keruntuhan akhlak di
kalangan muda-mudi.

Walaupun banyak faktor dikaitkan dengan gejala keruntuhan akhlak yang berlaku
sekarang, namun faktor yang jelas ialah kurangnya kaum lelaki memainkan peranan
yang berkesan sebagai ketua keluarga dalam memimpin ahli-ahli dalam keluarganya
sendiri, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud "Lelaki menjadi penjaga bagi
kaum wanita" dan "Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka..."

No comments:

Post a Comment